Hizib Bahr: Sejarah, Kandungan, Ulama yang Mengamalkan

HIZIB BAHR: SEJARAH, KANDUNGAN, ULAMA YANG MENGAMALKAN

RUMAH-MUSLIMIN.COM - Dala'il Al-Khayrat Wa Syawariq Al-Anwar Fi Dhikr Al-Sholawat ‘Ala Nabi Al-Mukhtar (Petunjuk Kebaikan Dan Pancaran Cahaya Dalam Berselawat Ke Atas Nabi Yang Terpilih) merupakan kitab yang terkandung di dalamnya Asma' Al-Husna, Asma' Al-Nabi, Hizb Al-Bahr, selawat-selawat dan doa-doa ke atas Nabi Muhammad SAW yang disusun di Maghribi pada abad ke-15 Masihi oleh seorang tokoh Sufi tersohor, Imam Saiyid Muhammad bin Sulaiman Al-Jazuli Al-Hassani yang mengamalkan Thariqah Shadhiliah. 

Salah satu Hizb masyhur dalam Dala’il Al-Khayrat ialah Hizb Al-Bahr. 

Hizb Al-Bahr adalah salah satu amalan utama Thariqah Shadhiliah yang diasaskan oleh Qutb Al-Aqtab Imam Saiyid Ali bin Abdullah Al-Shadhili Al-Hassani (Imam Abu Hassan Al-Shadhili) dari Maghribi. 

Hizb Al-Bahr juga diakui serta diamalkan oleh ulama masyhur dalam dunia Islam sama ada pengamal Thariqah Shadhiliah ataupun dari Thariqah yang lain seperti:- 

[1] Imam Saiyid Muhammad bin Sulaiman Al-Jazuli Al-Hassani 

[2] Shaikh Al-Islam Shaikh Abdul Rahman bin Abu Bakar Al-Suyuthi @ Imam Jalaludin Al-Suyuthi 

[3] Sultan Al-Ulama' Shaikh Abdul Aziz bin Abdul Salam Al-Sulami @ Imam Izzudin Bin Abdul Salam 

[4] Shaikh Muhammad bin Said Al-Busiri 

[5] Shaikh Abdul Wahab bin Ahmad Al-Sha'rani 

[6] Shaikh Ahmad bin Muhammad Al-Judhami Al-Iskandari @ Ibn Ata’illah 

[7] Shaikh Ahmad bin Ahmad Al-Zarruq 

[8] Shaikh Ahmad bin Mustafa Al-Alawi Al-Mustaghanimi 

[9] Shaikh Abdul Qadir bin Isa Al-Azizi 

[10] Habib Abdullah bin Alwi Al-Haddad 

[11] Habib Salim bin Abdullah Al-Shatiri 

[12] Shaikh Daud bin Abdullah Al-Fathani 

[13] Haji Ali bin Abdul Rashid @ Syeikh Ali Al-Sumbawi 

[14] Haji Ismail bin Abdullah @ Syeikh Ismail Al-Minangkabawi 

[15] Haji Abdul Wahab bin Abdul Manaf @ Syeikh Abdul Wahab Rokan 

$ads={1}

Di Tanah Melayu, Hizb Al-Bahr juga diamalkan oleh sejumlah ulama yang memiliki pengaruh yang besar dalam perkembangan tradisi keilmuan Islam di Tanah Melayu. Antaranya ialah:- 

[1] Shaikh Abdul Malik bin Abdullah Al-Baghdadi @ Tokku Pulau Manis 

[2] Haji Wan Ali bin Wan Abdul Rahman @ Syeikh Wan Ali Kutan 

[3] Haji Muhammad Said bin Muhammad @ Tok Jerulong 

[4] Haji Abdul Rahman bin Abdul Hamid @ Haji Abdul Rahman Limbong 

[5] Haji Muhammad Nur bin Ismail @ Haji Muhammad Nur Langkat 

[6] Haji Abdul Samad bin Abdullah @ Tok Pulai Chondong 

[7] Haji Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdul Rahman 

[8] Haji Abdullah bin Ibrahim @ Syeikh Abdullah Fahim 

[9] Haji Wan Sulaiman bin Wan Sidiq 

[10] Kiyai Mufrad bin Kasan 

[11] Kiyai Fathullah bin Harun 

Hizb Al-Bahr juga turut mendapat perhatian oleh ulama dan ilmuwan Islam yang terkemuka. Antara mereka yang telah mensharahkan Hizb Al-Bahr ialah:- 

[1] Shaikh Al-Akbar Muhammad bin Ali Al-Ta’i Al-Hatimi @ Ibn Arabi 

[2] Shaikh Muhammad bin Hassan Al-Sayyadi @ Shaikh Abu Al-Huda Muhammad Al-Rifa’i 

[3] Shaikh Muhammad Al-Hanafi Al-Ibn Duqmaq 

[4] Shaikh Hassan bin Ali Al-Mintawi 

[5] Shaikh Ahmad bin Umar Al-Izmiri 

[6] Shaikh Mustafa Al-Kamali 

[7] Shaikh Yusuf bin Ismail Al-Nabhani 

[8] Shaikh Daud bin Umar Al-Bakhili 

[9] Mawlana Ahmad bin Abdul Rahim @ Shah Waliyullah Dehlawi 

[10] Mawlana Imdadullah bin Muhammad Amin @ Haji Imdadullah Al-Muhajir Al-Makki 

[11] Sultan Muhammad Bello bin Usman Fodio 

Baca juga: Teks Bacaan Hizib Bahr, Sejarah, Khasiat dan Cara Mengamalkannya

Sejarah Hizib Bahr

Berkait sejarah Hizb Al-Bahr, diriwayatkan ketika Imam Saiyid Ali Al-Shadhili sedang dalam perjalanan menunaikan ibadah Haji, beliau telah melalui Laut Al-Qulzum dengan menumpang sebuah kapal milik seorang lelaki Nasrani (Kristian) yang berperanan sebagai nakhoda kapal. Ketika sedang belayar, angin tidak bertiup selama beberapa hari menyebabkan pelayaran mereka tidak begitu lancar. Ketika itulah beliau bermimpi bertemu Rasulullah SAW dan baginda membawa berita gembira kepadanya serta mentalqinkan Hizb Al-Bahr. 

Dalam Hizb Al-Bahr itu terdapat ayat-ayat Al-Quran, antaranya ialah surah-surah seperti Al-Ahzab (ayat 11-12), Maryam (ayat 1), Yasin (ayat 1-9 / 66-67), Taha (ayat 111), Al-Naml (ayat 1), Al-Shu’ara’ (ayat 1), Al-Shura (ayat 1-2), Al-Rahman (ayat 19-20), Al-Mu’min/Ghafir (ayat 1-3), Al-Baqarah (ayat 137, ), Al-Buruj (ayat 20-22), Yusuf (ayat 64), Al-A’raf (ayat 196) dan Al-Tawbah (ayat 129). Selain itu terdapat juga doa dan dhikir daripada Hadith. 

Berbalik pada Dala’il Al-Khayrat, ia tidak hanya menjadi rutin bacaan di Maghribi dan Mesir, bahkan juga menjadi bacaan rutin di negara-negara lain termasuk Timur Tengah dan Asia Tenggara. 

Di Tanah Melayu khususnya, Dala'il Al-Khayrat adalah salah satu amalan Ahlus Sunnah Wal Jama'ah yang penting pada abad ke-17 Masihi hingga ke hari ini.

Pada zaman penjajahan Portugis, Belanda dan British di Tanah Melayu, Dala’il Al-Khayrat menjadi elemen yang sangat penting dalam menghadapi para penjajah.

Pentingnya Dala'il Al-Khayrat ini dalam perjuangan anti-penjajah di Tanah Melayu dapat dilihat dari banyaknya kitab Dala'il Al-Khayrat yang ditemukan di antara beragam barang rampasan perang yang dikumpulkan Portugis dan Belanda semasa Perang Melaka-Portugis (tahun 1511-1526), Perang Bugis-Belanda (tahun 1756-1784), Perang Padri-Belanda di Sumatera (tahun 1803-1838) dan Perang Aceh-Belanda (tahun 1873-1910). 

$ads={2}

Dalam kitab Hikayat Perang Sabil, penyusunnya iaitu Mu'alim Bunsu Syam Muhammad menyatakan:- 

"Dikhabarkan bahawa panglima dan bala-bala tentera Sultan Melaka banyak yang menghafal dan mempraktikkan amalan dalam kitab Dala'il Al-Khayrat. Maka tidak hairan kalau kitab tersebut sering dijumpai bersama jasad para syuhada yang melawan kafir penjajah di era awal tahun 1511, menghadapi pasukan kerajaan Katolik Portugis yang datang menyerang Kesultanan Melaka." 

Di zaman kegemilangan Kesultanan Riau pula, Dala'il Al-Khayrat tampaknya menjadi salah satu pegangan dan amalan yang utama.

Dalam kitab Tuhfat Al-Nafis, penyusunnya iaitu Raja Ali bin Raja Ahmad (Raja Ali Haji) dengan jelas mencatat bagaimana datuknya, Daing Sakek bin Daing Chelak (Raja Haji Syahid Fi Sabilillah) syahid dalam perang terakhir melawan Belanda di Teluk Ketapang (Melaka), sambil memegang sebilah badik dan kitab Dala’il Al-Khayrat pada 17 Jun 1784:-

“.. maka Raja Haji pun bangkit menghunus badiknya. Sebelah tangannya memegang kitab Dala'il Al-Khayrat. Maka dipeluk oleh beberapa orang. Maka di dalam tengah-tengah hal yang demikian itu, maka Raja Haji pun kenalah peluru barisan senapang. Maka baginda pun rebahlah lalu mangkat syahidlah..” 

Lebih dari itu, Raja Ali juga menjelaskan bahawa selama memimpin peperangan yang berlangsung dari tahun 1782 hingga 1784, Daing Sakek banyak memperoleh kelebihan-kelebihan yang luar biasa hasil dari amalan Dala'il Al-Khayrat. 

Berhubung pengamalan Hizb Al-Bahr di Singapura pula, terdapat dua tokoh terkenal yang mengamalkannya iaitu Habib Nuh bin Muhammad Alhabshi dan Kiyai Muhammad Dahlan bin Hassan Minhaj. 

Khususnya Habib Nuh, ini dapat dibuktikan dengan adanya kitab Dala'il Al-Khayrat peninggalan beliau yang masih disimpan dengan baik sehingga ke hari ini. 

Koleksi langka itu adalah naskah lama cetakan Matba'ah Al-Bahriyah di Qahirah (Mesir) pada tahun 1812. 

Walaupun kitab tersebut sudah berusia 210 tahun, kesemua muka suratnya masih lengkap dan hanya terdapat kerosakan kecil seperti di sekeliling kertas akibat dimakan ulat buku.

Kitab itu adalah kitab yang tertua di Singapura; selain kitab Al-Quran cetakan tahun 1869 yang ada dalam simpanan National Library Board (NLB). 

Antara yang menarik dalam kitab Dala’il Al-Khayrat milik Habib Nuh itu ialah ia memuatkan Hizb Al-Bahr, doa selepas membaca dan khatam Dala’il Al-Khayrat, Hizb An-Nasr Imam Saiyid Ali Al-Shadhili, Hizb Imam Shaikh Yahya bin Sharaf Al-Nawawi, Qasidah Burdah karangan Shaikh Muhammad Al-Busiri dan Selawat Mashishiyah susunan Shaikh Abdul Salam bin Mashish Al-Alami. Tentunya ia merupakan naskhah yang penuh keberkatan kerana di dalamnya mengandungi nama Allah Yang Maha Agung (Al-Ism Al-A'zam). 

Dengan pengamalan Hizb-Hizb itu jugalah memberi peluang kepada Habib Nuh untuk berhimpun dengan Sahib Al-Hizb di Akhirat kelak.

Oleh: Ustadz Abdullaah Jalil

Demikian Artikel " Hizib Bahr: Sejarah, Kandungan, Ulama yang Mengamalkan "

Semoga Bermanfaat

Wallahu a'lam Bishowab

Allahuma sholli 'alaa sayyidina muhammad wa 'alaa aalihi wa shohbihi wa salim

- Media Dakwah Ahlusunnah Wal Jamaah - 

Redaksi

Rumah Muslimin Grup adalah Media Dakwah Ahlusunnah Wal jama'ah yang berdiri pada pertengahan tahun 2017 Bermazhab Syafi'i dan berakidah Asyariyyah. Bagi sobat rumah-muslimin yang suka menulis, yuk kirimkan tulisannya ke email kami di dakwahislamiyah93@gmail.com

Posting Komentar

Lebih baru Lebih lama
close